Bila Saya Sedar Asap Penuh Di Ruang Tamu...
Rumah yang didiami oleh Mohd Noor @ Yazid Tambi, 52; hampir hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kesidang tengahari tadi.
Mohd Noor yang ketika itu sedang tidur di bilik sebelah telah dikejutkan dengan bunyi letupan kecil di ruang tamu dan sebaik sahaja membuka pintu beliau terkejut kerana asap telah memenuhi seluruh ruang rumah.
Beliau yang ketika itu baru sahaja selesai bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebelah malam terus menyelamatkan diri melalui tingkap bilik tidur.
"Nasib saya baik sebab pada waktu itu, adik dan anak lelaki saya tiada di rumah kerana keluar bekerja", menurut Mohd Noor ketika di temui di rumah beliau di sini.
Beliau hanya sempat menyelamatkan sebahagian peralatan dan dokumen-dokumen penting bagi mengelakkan kemusnahan yang lebih besar.
Jabatan bomba dan penyelamat Jalan Kubu Melaka juga masih lagi sedang menyiasat punca kebakaran tersebut berlaku.
Bertindak atas maklumat tersebut, Skuad Agihan Zakat Maim dari Bahagian Zakat Melaka Tengah telah hadir bagi melihat keperluan-keperluan awal yang boleh disampaikan kepada keluarga Mohd Noor.
Turut hadir bersama pihak Agihan Zakat pada ketika itu agensi-agensi seperti kebajikan masyarakat, pihak japerun dan wakil Parlimen Kota Melaka yang turut sama menyampaikan bantuan keperluan awal kepada mangsa.